Saturday, January 7, 2012

PELAKSANAAN SEKOLAH WAWASAN: MEMENUHI KEPERLUAN KEPELBAGAIAN PELAJAR DAN PERPADUAN KAUM


PENGENALAN
Peristiwa hitam 13 Mei 1969 telah mencetus minda pemimpin kita untuk mentitikberatkan soal perkauman di negara ini. Kesinambungan usaha itu berlanjutan hingga tercetusnya idea penubuhan Sekolah Wawasan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Penubuhan Sekolah Wawasan adalah bermatlamat untuk mencapai perpaduan kaum khususnya dalam kalangan pelajar sekolah melalui perkongsian prasarana dan kemudahan sekolah serta aktiviti sekolah secara bersama.
Sekolah ini juga dapat mewujudkan interaksi yang meluas antara semua warga sekolah yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama disamping dapat memupuk semangat persefahaman dan toleransi. Perkara yang paling penting ialah kewujudan Sekolah Wawasan adalah untuk membolehkan semua sumber digunakan secara optimum dan meliputi kepelbagaian pelajar. Segala kekuatan dan kelebihan yang didapati dari sekolah aliran yang berbeza ini dapat di kecapi bersama oleh sekolah-sekolah lain untuk menampung kepelbagaian pelajar yang wujud.
ULASAN JURNAL
Sekolah Wawasan bertujuan untuk memenuhi hasrat murni kerajaan meningkatkan perpaduan antara kaum. Sekolah integrasi ini berpegang kepada konsep belajar bersama-sama di bawah satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama. Sebuah Sekolah Wawasan mempunyai beberapa ciri-ciri yang istimewa seperti setiap aliran diketuai oleh Guru Besar dan bertindak sebagai penyelaras antara aliran-aliran tersebut, mempunyai kemudahan bersama seperti padang, kantin, pejabat, tandas, bilik guru, perpustakaan dan sebagainya, pelaksanaan aktiviti-akitiviti seperti perhimpunan mingguan, Temasya Sukan Tahunan, Hari Kantin dan sebagainya serta bahasa rasmi di luar bilik darjah ialah bahasa Melayu.
Secara umumnya, penulis mengkaji jurnal ini adalah untuk mengenal pasti sumber pengajaran dan pembelajaran yang boleh dioptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar di Sekolah Wawasan. Terdapat juga tujuan khusus antaranya ialah sejauh mana keperluan dan matlamat penubuhan Sekolah Wawasan dari persepsi guru-guru dan jenis kerjasama dalam bidang kokurikulum di Sekolah Wawasan.
Kajian mengenai Sekolah Wawasan ini dijalankan di sebuah Sekolah Wawasan di Negeri Johor Darul Takzim. Semua guru di Sekolah Wawasan itu, iaitu seramai 22 orang (populasi) guru telah dijadikan responden. Soal selidik secara tertutup dan terbuka telah digunakan sebagai instrument kajian. Sesi temu bual juga dijalankan terhadap ketiga-tiga Guru Besar iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan India di Kompleks Sekolah Wawasan.
Dapatan kajian mengenal pasti bahawa kesemua guru (100%) yang menjadi responden kajian bersetuju dengan penubuhan Sekolah Wawasan. Dari aspek matlamat penubuhannya, sebahagian besar guru mempunyai tanggapan bahawa matlamat penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk meningkatkan perpaduan, toleransi, dan kerjasama antara kaum di Malaysia. Hanya sebahagian kecil guru yang dapat melihat matlamat penubuhan Sekolah Wawasan juga boleh meningkatkan pencapaian akademik pelajar dan menjimatkan perbelanjaan atau tenaga.


KRITIKAN JURNAL ( KEBAIKAN DAN KEBURUKAN)
Terdapat beberapa kebaikan yang didapati dalam jurnal ini, iaitu penulis menggunakan kaedah yang pelbagai iaitu kaedah soal selidik secara tertutup dan terbuka serta sesi temu bual sebagai instrument kajian. Kaedah ini dapat menguatkan lagi dapatan atau hasil kajian yang diperolehi. Kebaikan lain ialah penulis bukan sahaja menjalankan kajian terhadap guru-guru di Sekolah Wawasan malahan kajian juga turut melibatkan kepimpinan sekolah, iaitu Guru Besar.
Selain itu, kebaikan lain ialah penulis menjalankan kajian dengan mengenal pasti tujuan secara umum dan khusus. Soalan-soalan yang disoal selidik kepada guru-guru adalah secara menyeluruh, iaitu melibatkan kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran antara guru-guru, kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran antara pelajar dan kerjasama dalam bidang kokurikulum di Sekolah Wawasan. Penulis juga menyediakan item yang bersesuaian berdasarkan soalan  yang berkaitan. Hal ini dapat menguatkan lagi hasil kajian yang diperolehi.
Kekurangan jurnal ialah penulis menggunakan responden yang sedikit dalam soal selidik yang dijalankan. Penulis hanya menggunakan 20 orang guru sebagai responden kajian. Hal ini akan mempengaruhi kesahihan dapatan kajian. Kemungkinan hasil kajian yang diperolehi kurang sahih. Penulis sepatutnya menggunakan responden yang ramai untuk menguatkan lagi kesahihan dapatan kajian. Selain itu, penulis juga hanya menjalankan kajian di sebuah Kompleks Sekolah Wawasan sahaja. Hal ini turut mempengaruhi dapatan kajian. Penulis harus melibatkan semua Kompleks Sekolah Wawasan yang ada di Malaysia untuk mendapatkan hasil kajian yang lebih tepat dan jitu.

CADANGAN
Pada pandangan saya, penubuhan Sekolah Wawasan ini amat tepat dengan hasrat negara yang ingin melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitiberatkan keharmonian dalam proses penerimaan ilmu. Penubuhan Sekolah Wawasan bagi sekolah rendah amat bersesuaian kerana semangat perpaduan perlu dilentur sejak dari kanak-kanak lagi.
Terdapat beberapa cadangan yang dapat menambahbaikkan lagi pelaksanaan Sekolah Wawasan. Antaranya ialah Guru Besar dari setiap aliran perlu bekerjasama dalam menguruskan pentadbiran sekolah bagi mengeratkan lagi perpaduan kaum. Pihak pentadbir perlu menerapkan nilai-nilai positif dalam diri pelajar agar matlamat penubuhan Sekolah Wawasan dapat tercapai.
Pihak pengurusan sekolah dan guru-guru dari ketiga-tiga aliran juga perlu merancang aktiviti yang bersesuaian untuk dilakukan secara bersama. Melalui aktiviti yang dijalankan secara bersama ini, para pelajar dapat memahami budaya, bahasa dan pemikiran kaum lain. Hal ini turut memberi peluang kepada guru dan kakitangan dari setiap aliran untuk berinteraksi dengan lebih kerap dan berkongsi pandangan dan pendapat.
Selain itu, kerajaan perlu menyediakan prasarana dan kemudahan yang lengkap dan mencukupi agar pelajar dapat belajar dalam suasana yang selesa dan aman. Hal ini kerana, Kompleks Sekolah Wawasan menempatkan tiga buah sekolah daripada aliran yang berbeza. Segala kemudahan dikongsi secara bersama. Oleh itu, jika terdapat kekurangan kemudahan sekolah, hal ini akan memberi kesan kepada keselesaan pelajar untuk belajar dan memberi kesan kepada guru untuk menjalankan aktiviti penagajaran dan pembelajaran. Hal ini dikhuatiri akan menyebabkan perselisihan faham antara ketiga-tiga buah aliran sekolah.  
Cadangan lain ialah pihak pentadbir sekolah perlu mengadakan perbincangan secara bersama jika terdapat masalah yang melibatkan sekolah masing-masing. Guru-guru perlu bersikap profesional iaitu, dapat berkongsi ilmu dan pendapat serta pandangan guru-guru lain walaupun berlainan aliran sekolah agar masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik. Kerajaan perlu menambah lebih banyak Kompleks Sekolah Wawasan agar semangat perpaduan dapat diterapkan dalam diri generasi muda sejak dari bangku sekolah rendah lagi.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, pelaksanaan Sekolah Wawasan ini amat penting dalam melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang bersatu padu. Melalui penubuhan sekolah ini, golongan pelajar daripada pelbagai bangsa di negara ini dapat disatukan di bawah satu bumbung dan boleh berinteraksi serta bekerjasama khususnya dalam sesuatu aktiviti berkumpulan. Oleh itu, penubuhan Sekolah Wawasan merupakan satu medium yang amat bertepatan dalam mewujudkan rakyat yang bersatu padu dalam menempuh cabaran dunia yang serba mencabar pada hari ini.  




Rujukan
Jurnal pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Vol 16&17. No. 1-2. (2006/2007). Institut            Aminudin Baki. 
Sekolah Wawasan Penjana Perpaduan Kaum. Diakses pada 12 Oktober 2011daripada                              http://pendidikanasasintegrasi.blogspot.com/2010/08

No comments:

 
>