Monday, December 19, 2011

Kami Menang la !!


Hye Semua ! :)

Waahhh~ korang nak tau x? Bibliografi (biografi) tokoh untuk ASAIMEN sastera yang Cik Fiza n kawan2 buat dapat ANUGERAH laa~ Yeeaaayyyhhh!! Hikhik.. :)

Tak sangka pon boley menang, kami dapat anugerah untuk bibliografi tokoh sastera di alam siber. Hee. Kami dapat tau dari Pensyarah kami la. Encik Azmi. Encik Azmi pon xtau yang kami akan dapat. Kami dapat SIJIL n cenderahati berupa wang tunai RM 100. 

Tapi sebab kami xdapat hadirkan diri malam 2, wang tunai 2 d kurangkan, kami dapat RM5O je. *bersyukur sangat, naseb baek dapat jugak, kalau x, pihak penganjur xmo bagi. Tapi sebab Encik Azmi terangkan sebab musabab kenapa kami xleh g, baru la pihak penganjur bagi. Heee~ Rezeki kami kot. 

Mood:: Gembira la sayang sekalian. Hee. Glamour la sat malam 2 sebab nama Cik Fiza yang d sebut, (biar la nama je pon, ada jugak kan. Cik Fiza ada. Korang ada? Xda kan? Hikhik. Gurau je)

Kami buat pasal Tokoh Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh. Korang kenal x? Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh nie tokoh sasterawan dari utara. Kalau x kenal meh nak tunjuk gambar. Kat bawah nie haa. 





Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh yang pakai Cermin mata 2 :)
*xpon boleh tgk kat SINI
Karya Cik Fiza Fatin, Fatin n Hajar dipaparkan di SINI

Nie ha, hasil karya kami bertiga yang di taip~ Cik Fiza, Fatin, n Hajar :)

Kalau nak tau, n nak baca, KLIK READ MORE ok!

SBLM 2033 KESUSASTERAAN MELAYU
Tajuk: Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh: Sasterawan Terulung

Biografi Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh
Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh atau lebih dikenali sebagai Abdul Halim “R” dilahirkan pada 19 Disember 1937 di Kodiang, Kedah Darul Aman. Beliau merupakan anak kedua daripada tujuh beradik hasil perkongsian hidup pasangan Haji Salleh Bin Haji Saad dan Hajah Che Jah Binti Lebai Osman. Beliau dibesarkan di Kampung Pulau, Kodiang Kedah. Bapa beliau merupakan pesara guru agama yang disegani. Hasil perkongsian hidup dengan isteri beliau Hajah Rahmi Binti Jurau, mereka dikurniakan lima orang anak, iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Beliau merupakan pesara guru yang telah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 40 tahun.    
Personaliti terpuji Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh
Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh merupakan seorang yang ikhlas dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), jujur ialah lurus hati, tulus dan ikhlas. Beliau juga gemar bersahabat dan tidak suka mencari musuh. Sekiranya terdapat masalah yang dihadapi antara beliau dan rakannya, beliau akan segera mencari punca masalah tersebut dan menyelesaikannnya. Oleh sebab itu, dalam semua persatuan atau pertubuhan yang beliau terlibat, beliau tidak pernah bersikap mementingkan jawatan dalam sebarang kegiatan. Bagi beliau, untuk mencurahkan bakti dalam kegiatan sukarela kita mestilah ikhlas dan organisasi itu mestilah sentiasa harmonis. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.3):
Pernah berlaku saya menang di dalam undian kepemimpinan sebuah NGO, tetapi ada pihak yang kemaruk jawatan tersebut, lantas saya sanggup meletak jawatan. Hikmahnya, beberapa NGO lain datang memohon agar turut berjuang bersama mereka.
Selain itu, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh juga merupakan seorang yang amanah dalam melakukan sesuatu tugas. Beliau amat tidak menyenangi rasuah atau apa-apa penyalahgunaan kuasa walaupun atas nama kebajikan. Bagi beliau amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya perlulah dijaga dengan sebaik mungkin kerana ia akan ditanya di akhirat kelak sebagaimana yang tercatat dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.4):
Sebagai bendahari beberapa Pertubuhan Peringkat Negeri saya sentiasa amalkan berhemah dalam perbelanjaan. Pantang sekali kalau ada yang menuntut itu dan ini lebih daripada sepatutnya. Namun begitu, tuntutan munasabah termasuk sagu hati tugasan tetap dilunasi dengan cara yang logik.
Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh juga turut mempunyai minat mengumpul foto antaranya mengenai kegiatan kekeluargaan, rakaman peristiwa dalam dan luar negara, aktiviti pelbagai persatuan yang dianggotai, majlis-majlis tertentu, gambar-gambar pemandangan, wajah taman seluruh negara dan lain-lain lagi. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.4 dan 5):
Setakat ini terdapat kira-kira 120 album mengandungi setiap satunya 200 atau 300 keping. Ini bermakna lebih kurang 30,000 keping semuanya. Selain itu, saya juga gemar mengumpul kaset lagu, syarahan, nasyid, bacaan al-Quran dan lain-lain.
Pendidikan Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh
Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kodiang dari darjah satu hingga darjah lima pada tahun 1946 hingga 1950. Seterusnya beliau menyambung belajar dalam darjah enam di Sekolah Melayu Tunjang pada tahun 1951. Semasa di sekolah rendah, beliau dilantik menjadi Patrol Leader pergerakan pengakap. Beliau banyak menyertai aktiviti perkhemahan bersama rakan-rakannya di sekitar Kodiang dan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.
            Pada tahun 1952, beliau dilantik menjadi guru pelatih dan kemudiannya  beliau  mendapat Sijil TUOS pada tahun 1958. Kemudian sambil mengajar beliau telah terpilih ke Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur dari tahun 1962 hingga 1963. Beliau lulus F.M.C pada tahun 1962. Dengan semangat ingin menambah ilmu pengetahuan, beliau melanjutkan pelajaran secara jarak jauh dengan Universitas Nasional Jakarta pada tahun 1970 sehinggalah berjaya mencapai gelaran Sarjana Muda Bahasa dan Sastera pada tahun 1975.
            Dalam bidang penulisan pula, beliau tidak pernah mendapat pendidikan khusus. Beliau cuma belajar menulis berdasarkan minat, pertemuan sesama penulis dan dari alam pembacaan. Nemun begitu, pengalaman penulisan diterima sedikit sebanyak apabila beliau menghadiri kursus-kursus singkat penulisan, forum, seminar, bengkel, pembedahan karya dan seumpanya. Kesungguhan beliau menulis untuk peraduan-peraduan sastera juga mendorong dan melatih beliau memperbaiki aspek kandungan, gaya dan kebahasaan karya-karya beliau.
Rentetan kerjaya dan  penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional
Kerjaya guru beliau bermula semasa beliau berusia 14 tahun 3 bulan iaitu pada 1 April 1952. Ketika beliau dilantik menjadi guru pelatih, beliau baru lulus darjah enam sekolah rendah. Tetapi bagi beliau darjah enam pada waktu beliau mungkin bersamaan dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekarang. Beliau merupakan seorang yang rajin dan gigih mencurahkan bakti untuk anak-anak bangsa.
Selama 40 tahun berkhidmat sebagai guru, beliau telah ditugaskan di beberapa buah sekolah antaranya ialah Sekolah Melayu Jawa, Kota Sarang Semut pada tahun 1952 dan Sekolah Melayu Binjal pada tahun 1955 hingga 1957. Semasa bertugas di Sekolah Melayu Binjal inilah beliau mula bergiat dalam bidang muzik sebagai penyanyi dengan kumpulan yang terdiri daripada para guru di Kubang Pasu. Seterusnya beliau ditukarkan ke Sekolah Umum Jeniang pada tahun 1957 dan mengajar di sana sehingga 1960. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.7 dan 8):
Kami selalu membuat persembahan di majlis keramaian anjuran pihak sekolah di daerah sekitar. Waktu pergi dijemput menggunakan kereta, tetapi waktu balik selalunya sendiri-sendiri. Oleh itu kami pernah terpaksa menumpang lori ketika tengah malam ataupun menumpang tidur di rumah Pengelola Guru Daerah. Persembahan selalunya percuma tanpa bayaran. Ketika di Kubang Pasu juga saya bergiat aktif di dalam aktiviti kesukanan dan sandiwara. Kegiatan muzik saya agak berjaya sehingga persembahan kami pernah tersiar dalam Radio Malaya ketika itu.    
Seterusnya Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh menabur bakti di  Sekolah Kebangsaan Padang Perahu, Jitra Kedah pada tahun 1961 sebelum berhijrah ke Sekolah Cina Yih Choon Gunung Keriang pada tahun 1963. Kemudian Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh berkhidmat di Sekolah Inggeris Sik pada tahun 1964 dan seterusnya ke Sekolah Menengah Sik pada tahun 1965. Sewaktu di Sik, beliau melibatkan diri dalam kegiatan berdrama, aktiviti NGO dan menceburi bidang penulisan. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.8):
Ketika inilah, saya bertemu dengan Haji Mohd Nordin Harun lalu tercetus persahabatan kami berdua dalam bidang pantun. Kami mendalami bidang pantun sehingga berjaya ke peringkat Kebangsaan, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 1961 hingga 1966. Di sekolah ini juga saya bergiat cergas di dalam bidang penulisan terutama cerpen dan sajak.
Kemudiannya  Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh meneruskan khidmat baktinya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Padang Mat Sirat Langkawi. Setelah bertugas di sekolah ini selama dua tahun, iaitu dari 1 Mei 1965 hingga 31 Mac 1967, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh berkhidmat pula di Sekolah Menengah Mahsuri, Kuah, Langkawi dari 1 April 1967 hingga 31 Disember 1967. Sewaktu berkhidmat sebagai guru di sekolah tersebut, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh bergiat aktif dalam bidang pementasan drama sebagaimana yang tercatat dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.9):
Saya bergiat cergas bersama Penolong Pengawas Daerah di situ, Ahmad Basri Mohd Akil (Dato’ Paduka). Kami berpakat menubuhkan KABUS (Kumpulan Budi Seni) untuk aktif di dalam kegiatan belia, terutama drama pentas. Hasilnya banyak drama dipentaskan di Langkawi dan di Alor Setar melalui persatuan ini.
Oleh sebab penghasilan novel beliau yang bertajuk Buas mengisahkan kegiatan negatif sebahagian penduduk Pulau Lagenda, beliau berasa terancam. Beliau memohon simpati Wisma Darul Aman melalui SUK ketika itu yang juga mempengerusikan BBK Kedah. Akhirnya, rayuan beliau diterima dan beliau segera ditukarkan ke Sekolah Menengah Alor Merah (Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik) dan kemudian diberi kepercayaan menabur bakti di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dari 1 Jun 1968 hingga 31 Disember 1980, iaitu sebuah sekolah elit di Kedah.
Ketika di Kolej, beliau banyak berkecimpung dalam kegiatan NGO, termasuklah memimpin MAYC di peringkat negeri. Antara tugas beliau ialah menerbitkan bulletin khas bulanan dan tahunan MAYC. Beliau juga menjadi pemimpin Persatuan Penulis seperti GATRA dan ASASI, terlibat dalam organisasi Pegawai Melayu Kedah, Persatuan Guru Melayu Kedah, memimpin Silat Seni Gayung Pelajar Kolej, pementasan, Kegiatan Bahasa Melayu, memimpin Sepak Takraw pelajar        Kolej sehingga menjadi Johan Kebangsaan dan banyak lagi. Semasa di Kolej, beliau juga giat dalam politik seperti yang digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.9):
Saya menganggotai UMNO sejak 1950-an di Kodiang. Jadi semasa peluang berada di pusat bandar, kegiatan berpolitik itu diteruskan. Kebetulan ketika 1970-an saya berkenalan dengan Dato’ Seri Syed Nahar, Tan Sri Megat Junit, Dato’ Zainal Abidin Johari, Dato’ Seri Abdul Kadir, Dato’ Seri Osman Arof dan ramai lagi ahli politik. Jadi saya telah dilantik sebagai Ketua Penerbitan UMNO Kedah.
Seterusnya pada 1 Januari 1987  Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh dilantik sebagai Guru Kanan Sastera di Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah Alor Setar dan memegang jawatan tersebut selama satu tahun. Di sekolah tersebut, beliau berkesempatan melatih pelajar-pelajar perempuan dalam bidang penulisan, antaranya melalui penerbitan majalah Gema Puteri dan jerih payah beliau berbaloi apabila salah seorang anak muridnya berjaya menempa nama sebagai penulis yang ternama seperti yang digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.10):
Jerih payah saya selama ini berbaloi apabila salah seorang pelajar dari sekolah ini iaitu Jariah Taha dai Sabah berjaya menjadi penulis yang tenama juga.
            Kemudian pada 16 Disember 1987 Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh dilantik menjadi Penolong Kanan Sekolah Menengah Jerai, Baling. Tidak lama di sana, beliau ditukarkan ke Sekolah Menengah Batu 17 Padang Lumat juga memegang jawatan sebagai Penolong Kanan. Oleh sebab terpaksa berulang alik setiap hari, iaitu dari rumah beliau di Taman PKNK, Alor Setar ke sekolah baru tersebut yang jaraknya lebih kurang 60 kilometer pergi dan balik setiap hari, maka dengan rela hati beliau memohon bersara awal, iaitu pada 1 Ogos 1991. Selama berkhidmat sebagai guru, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh juga pernah terlibat dalam kerja-kerja sukarela lain seperti menjadi hakim pantun, syair, sajak, syarahan dan drama baik pada peringkat Negeri mahupun Kebangsaan. Harapan beliau semoga semua kerja amal yang beliau buat selama beliau bergelar guru akan mendapat timbangan Allah SWT.
Pengalaman Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh sebagai penulis
Minat menulis telah tumbuh dalam diri Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh sejak tahun 1953 lagi. Beliau menulis dalam berbagai genre seperti cerpen, sajak, pantun, syair, novel, drama, gurindam, esei, lirik, teks sastera, dialek dan lain-lain. Namun, minat beliau dalam puisi tradisional lebih kuat. Minat dalam bidang penulisan ini membawa beliau menjadi kumpulan editorial kepada beberapa buletin tempatan termasuklah Warta Darul Aman, MRJK MKNK dan beberapa penerbitan lagi.
Pengalaman sebagai penulis dengan segala pahit dan manis memang banyak yang berlaku dalam diri Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh. Bagi Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh, berkarya adalah satu tugas dan ibadah, namun apabila hasil karya itu diserah kepada pihak penerbit, macam-macam perkara yang menyedihkan berlaku. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.11):
… pada tahun 1950-an saya telah menyiap karya beraneka genre dan bercadang untuk menerbitkannya secara berkala. Apabila dikirim kepada sebuah penerbitan terkenal di Singapura, terus senyap, hilang tanpa berita.
Selain itu, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh juga pernah mengalami pengalaman pahit kehilangan karya yang amat beliau sayangi. Peristiwa ini berlaku apabila beliau menyerahkan novel yang beliau tulis kepada seorang teman yang juga seorang editor terkenal. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.11):
Malangnya novel tersebut hilang dalam timbunan skrip di pejabat gergasinya di Kuala Lumpur. Berikutnya banyak benar karya saya yang diserahkan kepada seseorang yang terkenal lesap di sesebuah penerbitan.
Kenangan pahit lain ialah Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh terpaksa menunggu dalam jangka masa yang lama untuk menerbitkan karyanya. Syair Kedah Darul Aman yang beliau siapkan pada awal tahun 1990-an mengambil masa saban tahun untuk diterbitkan. Karya beliau telah dihantar di banyak tempat penerbitan untuk disemak tetapi ditolak tanpa alasan. Beliau sangat kecewa. Akhirnya karya beliau dapat juga diterbitkan pada tahun 2001. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.12):
Apabila karya ini diserahkan kepada sebuah pertubuhan sejarah selama setahun ia terperam lalu dilontarkan khabar bahawa mereka kekurangan wang. Lalu diserahkan pula kepada sebuah agensi budaya di Kedah. Setelah dipekasamkan lebih setahun skrip Syair Kedah Darul Aman itu ditolak tanpa alasan.   
Selain mengalami kepahitan dalam berkarya, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh juga mendapat pengalaman manis. Antaranya ialah selepas beberapa tahun penerbitan Syair Kedah Darul Aman, ada pihak yang sudi mencetak semula dengan penambahan lebih separuh lagi, demikian Sejarah Kedah Dalam Syair dicetak lebih tebal dengan harga jualan memuaskan seperti yang digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.12):
Karya tersebut dirasmikan pelancarannya dalam tahun 2006, oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik, Raja Muda Negeri Kedah Darul Aman. Syukur, pihak Perpustakaan Negara Malaysia membelinya untuk edaran ke perpustakaan seluruh Malaysia.   
Selain itu, pantun yang beliau hasilkan iaitu Setaman Pantun Kenangan juga berjaya diterbitkan. Dengan ini, impian beliau untuk membukukan pelbagai bentuk karya perseorangan makin mencapai tahap yang dikehendaki, iaitu kumpulan pantun, kumpulan syair, kumpulan cerpen, kumpulan novel dan kumpulan sajak. Hal ini digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.12):
… saya adalah dengan terbitnya buku pantun berjudul Setaman Pantun Kenangan oleh pihak USM dengan editor umumnya Dr. Muhammad Hj. Salleh. Saya juga bersyukur kerana pihak Perpustakaan Negara Malaysia membelinya dengan tujuan yang sama.
Keunggulan iham cipta
Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh menghasilkan banyak karya yang hebat sepanjang beliau bergiat aktif dalam dunia seni. Antara karya Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh ialah Pantun Serbaneka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1968.; Syair Kedah Darul Aman, Taman Budaya Pumpong Alor Setar, KKK dan P. 2001.; Novel Buas, Ipoh : Pustaka Muda, 1967.; dan Drama Sahabat Yang Curang (1953). Selain itu, beliau juga menghasilkan Kumpulan Pantun Melayu, (Peny: Zainal Abidin Bakar), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.; Malam Puisi Tanah Air, Universiti Utara Malaysia, 2006.; dan banyak lagi.  

Pengiktirafan dan pencapaian
Penglibatan Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh dalam lapangan sastera dan kemasyarakatan telah diiktiraf oleh berbagai pihak. Terdapat pelbagai anugerah yang telah diterima oleh beliau seperti yang digambarkan dalam Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara (Pisol Maidin, 2010, hal.13):
Anugerah yang telah diterima ialah Sijil Kepujian MAYC Pusat (1972), Surat Penghargaan DBP (1986), Penulis Dedikasi Warta Darul Aman (1988/89 dan 1991/92), Bintang Kebaktian Masyarakat: BKM (1994), Darjah Kebesaran Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati: AMK (2000), Anugerah Tokoh Sastera Warisan – DBP (2005) dan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah: DSDK (2007).
Selain itu, beliau juga turut mempunyai pencapaian yang memberangsangkan sepanjang beliau berkecimpung dalam dunia seni. Antara pencapaian beliau ialah Hadiah Pertama Cerpen UMNO 50 Tahun berjudul Merintis Denai, Tempat Pertama Puisi MAIK, Hadiah Penghargaan Pesta Mengarang Syair Peringkat Kebangsaan (Yayasan Johor), Anugerah Tokoh Sastera Warisan (DBP, 2005), Hadiah Kedua Menulis Esei Hari Kesihatan Sedunia Negeri Kedah (1972) dan banyak lagi.
Rumusan
Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang perguruan dan kesusasteraan Melayu. Beliau telah menabur bakti selama hampir 40 tahun bermula sebagai seorang guru sehingga menjadi seorang sasterawan. Penglibatan Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Salleh telah mendapat pengiktirafan negara serta turut dikagumi dan disanjung ramai. Jasa dan pengorbanan beliau dikenang sepanjang zaman.
Rujukan
Pisol Maidin. (2010). Seribu satu kenangan: Autobiografi 10 sasterawan utara. Selangor: Pusat     Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA. 
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Pengarang.
Dewan kegemilangan anak-anak Kedah. Diakses pada 12 Oktober, 2011 daripada http://www.             mykedah2.com/20hall_fame/202_6_02.htm
Kesusasteraan Melayu. Diakses pada 22 Oktober, 2011 daripada http://bobezani.tripod.com/        sastera.htm
Pusat rujukan persuratan Melayu. Diakses pada 17 Oktober, 2011 daripada http:/prpm.dbp.gov. my/default.aspx

No comments:

 
>