Friday, December 23, 2011

Ulasan Novel


Hye semua! 

Ulasan novel Adam dan Hawa karya penulis terkenal iaitu Aisya Sofea. Hee. Ulasan nie karya Cik Fiza tau. :)

Nak baca Klik READ MORE ok!
SBLM 2033 KESUSASTERAAN MELAYU
Nama : Nur Hafizah Binti Zaidi
No. Matrik : 199540
Tajuk : Sesuci Cinta Adam dan Hawa
Pengenalan
Novel yang saya kaji ialah novel Adam dan Hawa yang ditulis oleh Aisya Sofea. Novel ini telah diterbitkan oleh Alaf Dua Puluh Satu Sendirian Berhad pada tahun 2006. Ain Hawani, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana sikap iri hati, Ain Hawani dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuan Ain Hawani tidak dipedulikan. Adam Mukhriz hanya mendiamkan diri, seolah-olah perkara yang berlaku adalah benar. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan rela. Sayangnya, hubungan suami isteri antara Ain dan Adam hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari yang sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar dihatinya. Adam pasrah. Semua yang berlaku salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata. Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Masjidilharam. Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Semakin lama, timbul perasaan cinta, kasih dan sayang dalam hati Ain Hawani. Tetapi keegoannya cuba menidakkan. Namun kuasa Tuhan tidak ada siapa yang tahu. Ain Hawani dan Adam Mukhriz akhirnya bersama.



Kesabaran Adam Mukhriz menunggu cinta Ain Hawani
Kesabaran ialah menahan diri daripada dipengaruhi oleh gelora hati atau perasaan yang boleh mendatangkan api kemarahan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Perasaan cinta yang mendalam Adam Mukhriz terhadap isterinya Ain Hawani mendorongnya untuk terus bersabar menanti Hawanya kembali semula kepadanya setelah sekian lama pergi meninggalkannya ekoran daripada kecewa dengan sikapnya sendiri yang enggan membenarkan kata-kata Ain Hawani dan menceritakan perkara sebenar semasa mereka ditangkap khalwat. Hal ini digambarkan dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 227):
Emak tersenyum. “Mak tau Am sayangkan Ain. Takkanlah dia tak sayang Ain kalau dia setuju Ain jadi isteri dia. Takkanlah dia masih tak sayangkan Ain kalau sampai sekarang ni pun dia masih tak lupa tanggungjawabnya pada Ain? Lapan tahun Ain… lapan tahun dia bersabar dengan Ain. Tak jemu-jemu dia tunggu Ain.”
Kegigihan Adam Mukhriz mendapatkan cinta Ain Hawani  
Kegigihan membawa maksud keteguhan mempertahankan pendapat, fikiran atau hak (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Sifat kegigihan ini dapat dilihat melalui perwatakan Adam Mukhriz yang digambarkan oleh novelis. Adam Mukhriz sanggup menunggu isterinya walau seribu tahun lamanya untuk mendapatkan cinta, kasih dan sayang yang suci. Sebagai contoh, walaupun telah terpisah selama lapan tahun, namun Adam Mukhriz tetap berusaha untuk memenangi cinta Ain Hawani kerana beliau percaya Hawanya akan tetap kembali padanya. Hal ini digambarkan dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 314): 
I will get you. Tak kisahlah jauh mana Ain lari, Am tetap akan dapatkan Ain. Coz you are my wife, and I will find you even if I have to pay with my life to get you.” Aku tersentak dengan suara yang agak meremangkan bulu romaku itu. Ternyata Am benar-benar marah. Kemarahannya dan janjinya tersimpul satu. Nekad dengan kata-katanya juga jelas.
Tanggungjawab suami terhadap isteri
Tanggungjawab ialah kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Adam Mukhriz tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Ain Hawani selama mereka berpisah.
Sebagai contoh, walaupun mereka berpisah selama lapan tahun, namun selama tempoh itu Adam Maukhriz tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Ain Hawani. Beliau sentiasa mengirim wang perbelanjaan untuk menampung pengajian Ain Hawani di Universiti Murdoch, Australia melalui ibu mertuanya tanpa pengetahuan Ain Hawani sebagaimana yang tercatat  dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 226):  
“Am tak mahu sia-siakan Ain. Dia tak pernah lupakan Ain. Dia tahu tanggungjawabnya. Selama ini, duit yang mak hulurkan pada Ain adalah duit nafkah daripada Am. Am terlalu banyak berkorban untuk Ain selama ini. Tapi dia tahu, Ain tak akan nak jumpa dia lagi. Dia tahu Ain marah sangat kat dia,” cerita emak yang entah bila sudah berada di sebelahku, mengusap rambutku dengan penuh kasih sayang.      
Kesetiaan Adam Mukhriz
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kesetiaan ialah keteguhan hati dalam sesuatu hal, iaitu perkahwinan, persahabatan dan sebagainya. Sifat kesetiaan ini boleh dilihat melalui perwatakan Adam Mukhriz yang digambarkan oleh novelis. Walaupun Ain Hawani membenci Adam Mukhriz, namun Adam Mukhriz tetap setia menanti Hawanya kerana beliau percaya lama-kelamaan Ain Hawani dapat menerimanya kembali.
Sebagai contoh, Adam Mukhriz begitu setia menanti kepulangan Ain Hawani ke pangkuannya sehinggakan beliau tidak pernah melayan mana-mana perempuan yang cuba menggoda dan mendekatinya. Hal ini digambarkan dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 491):    
“Ain pun tahu kan… yang abang ni memanglah lelaki paling romantis. Berebut-rebut perempuan yang tergilakan abang. Tapi Ain jugak yang abang nak,” …
Kasih sayang antara Adam Mukhriz dan Ain Hawani
Kasih sayang merupakan kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Melalui novel Adam dan Hawa, novelis menggambarkan perasaan kasih sayang antara Adam Mukhriz dan Ain Hawani yang tidak berbelah bahagi. Kasih sayang Adam Mukhriz terhadap Ain Hawani tidak pernah luntur walaupun berpisah sekian lama. Sebagai contoh, Adam Mukhriz sentiasa mengingati dan menyayangi Ain Hawani setiap waktu seperti yang tercatat dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 300):
“Pukul berapa sekarang ni?” Tanya Eja lagi dengan suara separuh sedar. “Dah dekat pukul 2.30 pagi.” Eja terdiam sebentar. Kemudian pantas dia mengalihkan tubuhnya ke arahku. “2.30 pagi?” tanya Eja dengan reaksi begitu terkejut. “Kalau bukan sebab rindu atau sayang, tentu dia tak call akak tengah-tengah malam buta macam ni. Kerja gila namanya tu!”
Kesungguhan Ain Hawani mempertahankan hak
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kesungguhan merupakan sikap bersungguh-sungguh, minat serta ketekunan melakukan sesuatu. Melalui novel Adam dan Hawa, novelis menggambarkan kesungguhan Ain Hawani mempertahankan rumah tangganya yang dibina bersama Adam Mukhriz daripada dihancurkan oleh pihak ketiga. Ain Hawani sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mempertahankan haknya sebagai isteri.
Walaupun pada mula usia perkahwinan mereka Ain Hawani membenci suaminya Adam Mukhriz, namun setelah cinta berputik, Ain Hawani sanggup berkorban demi mempertahankan rumah tangganya daripada dihancurkan oleh pihak ketiga. Sebagai contoh, Ain Hawani bertemu dan berbincang mengenai hubungan suaminya Adam Mukhriz dengan bekas teman wanita suaminya, iaitu Dinawati seperti yang tercatat dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 481):  
“Buat apa abang nak marah kalau isteri abang pertahankan haknya daripada orang lain.” Am tersenyum memandangku. “I proud of you, really! Bila Dee dah tak contact abang lagi, maknanya Ain dah berjaya lenyapkan diri dia daripada hidup kita.” 
Pegangan agama dan iman yang kuat
Pegangan agama dan iman yang kuat amat penting untuk seseorang suami mengemudikan rumah tangga dengan lebih baik. Asas agama yang kukuh dapat menjamin kesejahteraan hidup berumah tangga yang berlandaskan Islam.
Sebagai contoh, sepanjang lapan tahun berpisah dengan Ain Hawani, Adam Mukhriz telah berubah daripada nakal kepada seorang suami yang baik dengan mempelajari ilmu-ilmu agama sepanjang mereka berpisah sebagaimana yang tercatat dalam Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 395): 
Ya-Allah… aku begitu berdosa dengan suamiku. Aku memperkecil-kecilkan dirinya selama ini. Selama ini aku terlalu sukar menerima kata-kata mama, malah sukar juga mempercayai kata-kata emak. Tapi, jika lapan tahun dapat mengubah Am sehingga layak mengimamkan solat berjemaah, tidakkah dia juga layak untuk mengangkat tanggungjawab sebagai ketua keluarga?


Keunikan bahasa
Bahasa merupakan satu sistem lambang pertuturan yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berkomunikasi dan mempunyai fungsi yang tertentu. Gaya bahasa ialah cara penulis menggunakan sesuatu bahasa sebagai alat untuk menyampaikan pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema atau persoalan melalui karya mereka. Gaya bahasa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ialah cara pemakaian bahasa. Novelis menggunakan beberapa gaya bahasa yang menarik untuk menyampaikan pemikiran dan pandangannya terhadap karyanya. Antaranya ialah personifikasi, simile, sinkope, hiperbola dan anafora. 
Personifikasi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), personifikasi membawa maksud memberikan sifat manusia kepada benda-benda lain. Sifat manusia itu meliputi perwatakan, perasaan, tindak-tanduk dan perlakuan. Sebagai contoh, antara gaya bahasa personifikasi yang terdapat dalam novel Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal.124):
Dia masih sama seperti dahulu. Penampilannya membuai-buai hati wanitaku. Aku tidak menyedari air mata ini…
Simile
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), simile merupakan perbandingan setara yang digunakan oleh penulis bagi menyatakan sesuatu perkara. Kata-kata yang biasa digunakan  adalah seperti, umpama, bak, bagai, ibarat dan sebagainya. Sebagai contoh, antara penggunaan simile dalam novel Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 200):
Jika dia tahu apa sebabnya, pasti tidak senang duduk aku dibuatnya. Bertubi-tubi soalan bagaikan mesingan pula.


Hiperbola
Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan yang digunakan oleh penulis untuk menyatakan sesuatu cara secara berlebih-lebihan daripada maksud sebenar (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Sebagai contoh, antara gaya bahasa hiperbola yang terdapat dalam novel Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 104):
Biarpun tangan bagaikan digari, aku cuba menggunakan kakiku pula untuk melepaskan api marahku yang sedang marak membakar diri.  
Sinkope
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), sinkope bermaksud penyingkatan perkataan. Sebagai contoh, antara gaya bahasa sinkope yang terdapat dalam novel Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 92):
“Hah… kan orang dah kata! Dia tentu tak nak minum. Ada je komen dia,” rungut Linda tidak puas hati.
Anafora 
Anafora merupakan pengulangan kata pada awal baris secara berturutan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Sebagai contoh, antara gaya bahasa anafora yang terdapat dalam novel Adam dan Hawa (Aisya Sofea, 2006, hal. 384& hal. 491):  
“Lapan tahun mendewasakan kecantikan Ain. Lapan tahun mendewasakan pemikiran Ain”. Ain sudah cukup cantik pada mata Am. (Aisya Sofea, 2006, hal. 384)

… Bukan dari kepalanya untk dijadikan atasannya,
Bukan dari kakinya untuk dijadikan alasannya(Aisya Sofea, 2006, hal. 491)

Kesimpulan
Kesimpulannya, novel Adam dan Hawa merupakan novel romantis yang sangat menarik untuk dibaca. Plot cerita yang disampaikan oleh novelis sangat kukuh. Novelis juga bijak mengolah jalan cerita agar pembaca dapat memahami perkara yang hendak disampaikan dengan baik. Novelis menggunakan gaya bahasa yang menarik dan pembaca dapat memahami mesej yang hendak disampaikan dengan mudah. Mesej yang disampaikan juga dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan seharian.

Rujukan
Aisya Sofea. (2006). Adam dan Hawa. Selangor: Alaf Dua Puluh Satu Sendirian Berhad. 
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Pengarang.
Aspek kajian sastera untuk teks komsas. Diakses pada 26 September, 2011 daripada http://bm             spm.net/aspeksastera.htm
Gaya bahasa. Diakses pada 27 September, 2011 daripada http://arifbahasamelayu.blogspot.com   2009/03/gaya-bahasa.html
Gaya bahasa (linguafranca). Diakses pada 27 September, 2011 daripada http://linguafranca28.             wordpress.com/2009/01/21/gaya-bahasa/
Pusat rujukan persuratan Melayu. Diakses pada 17 Oktober, 2011 daripada http://prpm.dbp.             gov.my/default.aspx



2 comments:

Juliet_iRa~" said...

suka bc novel juga..

da bc da..best kan?hee

Cikpijaaa said...

Juliet iRa : Yup. Hee. sangat best. sbb 2 la Cik Fiza buat ulasan novel Adam dan Hawa nie utk asaimen sastera Cik Fiza. dgr cter novel nie akan diadaptasikan ke drama bersiri. X sabar nak tgk kan? Hee :)

 
>