Friday, December 23, 2011

Ulasan Sajak


Hye semua! 

Cik Fiza nak berkongsi ASAIMEN Ulasan Sajak.Tengok kat bawah nie ek. 

Kalau nak baca, Klik READ MORE ok! 
SBLM 2033 KESUSASTERAAN MELAYU
Tajuk 1: Kelalaian dan Kekejaman Manusia Dalam ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ oleh Mokhtar Rahman
Tajuk 2: Pendorong Kejayaan Dalam ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ oleh Irwan Abu Bakar
Disediakan oleh: Nur Hafizah Binti Zaidi (199540)
Mukadimah
Sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ dan ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ adalah dua sajak yang saya pilih untuk diulas. Sajak ini hasil karya Mokhtar Rahman dan Irwan Abu Bakar atau nama penanya Dr. Irwan. Tema serta persoalan kedua-dua sajak ini adalah berbeza kandungannya. Mokhtar Rahman merupakan ahli tetap e-Sastera.com sejak tahun 2008. Manakala Irwan Abu Bakar pula merupakan pengasas di semua laman komuniti yang ada di e-Sastera.com. Mokhtar Rahman yang berasal dari Alor Setar, Kedah telah menghasilkan sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ yang disumbangkan pada 17 Disember 2010 pada pukul 9.54 malam. Sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ mempunyai lima rangkap dan 34 baris. Rangkap pertama terdiri daripada sembilan baris, diikuti rangkap kedua terdiri daripada tujuh baris, rangkap ketiga mempunyai tujuh baris, diikuti rangkap keempat mengandungi lapan baris dan rangkap terakhir mempunyai tiga baris. Sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ adalah bertemakan kelekaan manusia pada keseronokan yang sementara. Manakala sajak ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ pula disumbangkan pada 21 April 2006 pada pukul 2.31 pagi. Sajak ini hanya mengandungi dua rangkap sahaja. Rangkap pertama mengandungi lima baris dan rangkap kedua mengandungi empat baris. Sajak ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ bertemakan kejayaan yang didorong dengan semangat daripada teman di sisi. Terlebih dahulu saya akan mengulas sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ karya Mokhtar Rahman. Seterusnya, barulah saya akan mengulas lebih lanjut tentang sajak ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ karya Irwan Abu Bakar.
Kelalaian manusia dengan keindahan dunia
Manusia pada zaman era globalisasi yang serba canggih ini lebih mengejar keseronokan dan keindahan duniawi tanpa menitikberatkan soal akhirat. Mereka mudah alpa dan taksub mengejar keseronokan tanpa mengenal batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Akibat daripada itu, lahirlah anak luar nikah yang tidak berdosa. Seperti yang digambarkan dalam sajak pertama yang akan saya ulas iaitu ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ karya Mokhtar Rahman. Pada rangkap pertama, penyajak mengungkapkan / jangan Engkau keluarkan aku Tuhan! /aku sudah selesa dalam perut ibu /tiap kali aku mendengar dan merasakan / bahawa dunia-Mu demikian mempersona /dengan gadis-gadis cantik /malam-malam yang mengasyik /bayu laut-Mu, gunung, pantai yang membelai /semuanya mengghairahkan bersantai /hingga manusia tenggelam dan lalai.
Penyajak ingin mengatakan bahawa manusia mudah alpa dan leka dengan keseronokan dunia yang tiada penghujungnya. Keghairahan mencari keseronokan dan hiburan telah menyebabkan manusia tenggelam dan lalai dengan tanggungjawab sebenar manusia sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Sebagai contoh, remaja pada masa kini gemar mencari keseronokan di luar dengan menghabiskan masa bersama rakan sebaya di pusat hiburan atau di tempat-tempat yang melalaikan tanpa kenal batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ekoran daripada itu lahirlah anak luar nikah yang tidak berdosa.


Tindakan kejam hilangkan masalah
Pada rangkap kedua, penyajak ingin menyampaikan maksud bahawa manusia yang melakukan perbuatan terkutuk, iaitu melahirkan anak luar nikah mengambil jalan mudah dengan membuang bayi tersebut dengan kejam untuk menutup kesalahan yang telah dilakukan. Manusia mengambil keputusan untuk membuang anak luar nikah yang dilahirkan kerana ingin menghilangkan kecelaruan masalah yang menimpa dirinya. Individu tersebut berfikiran bahawa dengan membuang bayi yang telah dilahirkan, masalahnya akan selesai. Kenyataan ini digambarkan dalam rangkap ketiga, /aku sangsi Tuhanku! /saatnya aku ditolak keluar /ada insan bakal menghumbankan aku /melalui beranda dan tingkap /supaya kepalaku terus berkecai /dan kepingan-kepingan tengkorakku /mampu menimbus kekusutannya.  
            Tindakan yang kejam terhadap anak yang tidak berdosa tidak akan berjaya menghilangkan kekusutan yang melanda sekali gus menghapuskan masalah yang melanda diri. Hal ini akan membuatkan kita rasa bersalah seumur hidup. Sebagai seorang makhluk Allah SWT yang dikurniakan akal dan fikiran, kita perlulah memikirkan baik dan buruk sesuatu tindakan sebelum membuat sesuatu keputusan. Kita perlu menyelasaikan masalah dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, jika seseorang itu mengalami situasi mengandung anak luar nikah, beliau perlu berjumpa dengan doktor atau pakar motivasi agar jalan penyelesaian yang baik dapat diambil.
Kesalahan yang dirahsiakan
Pada rangkap ketiga, penyajak ingin mengungkapkan bahawa manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk menutup kesalahan diri sendiri. Mereka sanggup untuk membunuh sekalipun sekiranya perkara yang telah berlaku kepada mereka bakal menjatuhkan air muka mereka. Hal ini dapat dibuktikan dengan ungkapan /ada insan bakal mencampakkan aku /di tepi-tepi longkang hanyir /membuang ke dalam tong sampah, ke dalam sungai /bersama sampah dan bangkai /kelak aku digonggong anjing-anjing liar /ke tanah jirat yang terbiar /sekali gus menyembunyi tangan-tangan jahat.
Manusia yang tidak bertanggungjawab ini sanggup membuang anak yang mereka lahirkan ke dalam tong-tong sampah dan ke dalam sungai tanpa perasaan belas kasihan dan simpati. Manusia seperti ini sudah hilang sifat kasih sayang dalam diri mereka. Mereka sanggup melakukan perkara yang kejam untuk menutup kesalahan yang mereka telah lakukan.
Hilang sifat perikemanusiaan dalam diri
Seterusnya pada rangkap keempat, penyajak ingin mengungkapkan sifat perikemanusiaan yang ada dalam diri manusia sudah hilang hingga sanggup membuang anak yang tidak berdosa dalam bentuk yang kejam, tragis dan hina. Hal ini dapat dibuktikan dengan ungkapan /kemanusiaan sudah lupus /dilitupi daki kedurjaan /aku tetap bimbang Tuhanku! /kelak aku disumbat dalam lubang / yang penuh kotoran dan najis /maka punahlah suatu ciptaan /oleh-Mu, Maha Agung, Ya Tuhan /dalam bentuk paling hina dan tragis. Pembuangan anak yang tidak berdosa dilakukan dalam bentuk yang kejam dan hina oleh masyarakat pada masa kini.
Sebagai contoh, kes pembuangan bayi di dalam tong sampah. Bayi tersebut bukan sahaja dibuang ke dalam tong sampah, malah bayi tersebut turut dibakar. Hal ini boleh dikaitkan dengan kes pembuangan bayi yang berlaku pada 13 Februari 2010, pekerja Majlis Daerah Kuala Krai menemui bayi lelaki yang telah rentung di dalam tong sampah di belakang sebuah bank. Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Abdul Rahim Che Ghani percaya bayi malang tersebut dibuang ke dalam tong sampah berkenaan sebelum dibakar.
Bayi yang tidak berdosa
Pada rangkap kelima, penyajak ingin mengungkapkan bayi yang dilahirkan tanpa status merupakan bayi yang tidak berdosa. Anak yang ada dalam kandungan individu yang melakukan penzinaan adalah tidak bersalah dan tidak berdosa. Oleh itu, tidak wajarlah jika mereka lahir kelak, mereka akan di hina atas kesalahan yang bukan milik mereka. Pasangan yang bertanggungjawab akan kelahiran anak tersebut yang perlu menanggung semua kesalahan yang mereka telah lakukan. Anak yang dilahirkan adalah sangat suci kerana mereka tidak mengetahui apa yang terjadi sebelum mereka dilahirkan dan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan lagi. Hal ini dapat dibuktikan dalam ungkapan, Tuhanku! /sekali pun aku dikeluarkan ke dunia /apalah dosaku?
Sesungguhnya, anak merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT. Allah SWT memberi amanah kepada manusia yang dikurniakan anak agar menjadi seorang ibu bapa yang bertanggungjawab dan penyayang. Sebelum melakukan sesuatu perkara, kita perlu berfikir baik dan buruk sesuatu tindakan itu.
Manusia saling memerlukan antara satu sama lain
Seterusnya, saya akan mengulas sajak ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ karya Irwan Abu Bakar. Sajak ini mengungkapkan disebalik kejayaan seseorang, ada seseorang yang menjadi pendorong dan semangat untuk beliau terus berjaya mengejar cita-cita. Sajak ini juga mengungkapkan percintaan antara pelajar sekolah yang dapat dijadikan sebagai dorongan dan meningkatkan semangat untuk berjaya kerana ada teman untuk belajar. Penyajak menggambarkan mawar ungu sebagai seorang perempuan yang baik dan sentiasa memberi dorongan dan semangat. Bunga mawar bewarna ungu juga melambangkan pesanan cinta dan kasih sayang. Penyajak meletakkan gambar sepohon bunga berwarna ungu di awal pengenalan sajak. Gambar pohon bunga berwarna ungu ini mengungkapkan mengenai manusia yang saling memerlukan antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana, tanpa dahan atau tangkai, daun dan bunga tidak akan tumbuh. Begitu juga dengan manusia.  Allah telah menciptakan Adam dan Hawa sebagai saling melengkapi. Tanpa orang di sekeliling yang sentiasa memberi bantuan, tunjuk ajar dan dorongan, kita tidak akan dapat menjalani kehidupan di muka bumi ini dengan baik. Manusia tidak boleh hidup seorang diri. Kita memerlukan teman yang boleh menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya dengan cemerlang.
Hal ini juga dapat dilihat dalam persaingan yang sihat dalam pergaulan. Jika kita hanya hidup dalam dunia kita sendiri, kita tidak dapat meningkatkan prestasi diri. Namun jika kita dikelilingi teman-teman, kita dapat menjadikan teman kita sebagai pesaing yang baik untuk kita memajukan diri agar dapat memperoleh prestasi yang lebih baik.
Percintaan yang melekakan
Manusia memerlukan teman yang boleh menjadi pendorong untuknya membuat sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang di impikan. Namun, jika perasaan cinta tidak boleh dikawal semasa belajar, ia boleh membuatkan seseorang itu hilang tumpuan untuk belajar. Hal ini digambarkan dalam rangkap pertama, /darimu kuterima setangkai mawar ungu /esoknya aku ada peperiksaan akhir /kuletakkan mawar dihalaman buku yang terbuka /melindungilah ia pancaran ilmu daripada mata /aku yang pasrah. Penyajak menggambarkan seorang lelaki yang menerima setangkai mawar ungu daripada seorang perempuan. Lelaki tersebut meletakkan bunga yang diterimanya di atas buku yang dibacanya. Pada mulanya, beliau mempunyai keinginan untuk membaca buku, namun setelah bunga itu diletakkannya di halaman buku yang dibacanya, beliau tidak bersemangat untuk belajar. Beliau tertewas dengan perasaannya sendiri kerana terlalu asyik dengan mawar yang dilihatnya. Beliau pasrah akan semua yang bakal jadi semasa beliau menjawab peperiksaan kelak.
Hal ini demikian kerana, seseorang itu akan mudah terleka dan hilang tumpuan untuk belajar jika terlalu memikirkan hal-hal percintaan. Sebagai seorang pelajar, kita perlu bijak membahagikan masa dengan sebaik mungkin. Tidak salah sekiranya mahu bercinta semasa alam persekolahan, namun jika percintaan yang terjalin menghalang pembelajaran dan melalaikan, hal ini bakal merosakkan masa hadapan kita kelak. Jika ingin bercinta semasa alam persekolahan, kita perlu bijak merencana masa agar percintaan yang terjalin dapat menaikkan semangat untuk belajar dan berjaya.
Sumber inspirasi
Pada rangkap yang kedua, penyajak ingin menyampaikan maksud bahawa teman di sisi kita dapat kita jadikan sumber inspirasi untuk kita berjaya. Hal ini digambarkan dalam rangkap kedua, /yang kubawa ke dewan periksa ialah setangkai mawar ungu /ilmu di buku yang terbuka terhalang daripada mata /tapi periksa itu bagiku menjadi tersangat mudah soalannya: /”wujudkah mawar berwarna ungu di samping merah dan jingga?”. Penyajak menggambarkan bahawa seorang lelaki yang hilang tumpuan untuk belajar tidak dapat mengingati perkara yang berkaitan dengan pelajarannya untuk menjawab soalan peperiksaan. Namun pada masa yang sama bunga mawar yang selalu diingatinya menjadi pendorong dan sumber inspirasi untuk beliau menjawab soalan peperiksaan. Beliau merasakan soalan yang ditanya menjadi tersangat mudah.


Keunikan bahasa dalam sajak
Seterusnya, saya akan membincangkan mengenai aspek gaya bahasa yang digunakan dalam kedua-dua sajak, iaitu sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ oleh Mokhtar Rahman dan ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ oleh Irwan Abu Bakar. Gaya bahasa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ialah cara pemakaian bahasa. Sememangnya penggunaan gaya bahasa dalam setiap sajak amat penting kerana ingin menghasilkan sebuah sajak yang menarik dan maksudnya dapat disampaikan kepada pembaca. Malahan, penggunaan gaya bahasa yang baik mampu memikat atau menarik hati pembaca. Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Mokhtar Rahman dan Irwan Abu Bakar juga telah menggunakan beberapa aspek gaya bahasa dalam sajak mereka. Antara gaya bahasa yang dapat dikenal pasti ialah personifikasi, repetisi dan hiperbola.
Personifikasi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), personifikasi disebut juga sebagai pengorangan iaitu gaya bahasa kiasan yang memberi sifat-sifat manusia kepada benda-benda mati atau sesuatu yang abstrak untuk mendapatkan kesan sastera atau seni. Sifat manusia itu meliputi perwatakan, perasaan, tindak-tanduk dan perlakuan. Penggunaan gaya bahasa personifikasi mampu memperjelaskan dan memudahkan pemahaman mesej sesebuah sajak. Mokhtar Rahman dalam karyanya ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ telah menggunakan gaya bahasa kiasan personifikasi, iaitu dalam rangkap pertama baris ketujuh iaitu /bayu laut-Mu, gunung, pantai yang membelai. Mokhtar Rahman telah mengorangkan bayu laut, gunung dan pantai dengan memberi sifat manusia seperti membelai kepada benda bukan hidup atau tidak bernyawa.  


Repetisi
Gaya bahasa repetisi telah digunakan dalam sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ oleh Mokhtar Rahman. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), repetisi membawa maksud pengulangan kata dalam baris yang sama.  Hal ini dapat dibuktikan dalam rangkap ketiga, baris ketiga iaitu /membuang ke dalam tong, ke dalam sungai. Frasa ‘ke dalam’ yang digunakan oleh penyajak bertujuan untuk menegaskan bahawa  manusia yang tidak bertanggungjawab telah melakukan perkara yang hampir sama maksud iaitu membuang anak ke dalam sungai dan ke dalam tong sampah. Pengulangan frasa ke dalam dapat menimbulkan irama dan menjadikan nada untuk membacanya berlainan.
Hiperbola
Irwan Abu Bakar menggunakan gaya bahasa hiperbola dalam sajak karyanya iaitu sajak ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’. Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan yang digunakan oleh penulis untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud sebenar (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Hal ini dapat dibuktikan dalam rangkap pertama, baris yang keempat iaitu /melindungilah ia pancaran ilmu daripada mata. Penyajak member kiasan secara berlebih-lebihan dalam frasa melindungilah ia pancaran ilmu daripada mata. Penyajak menyampaikan mengenai pancaran ilmu yang melindungi mata secara berlebihan. Hal ini demikian kerana, penyajak menggambarkan bahawa ilmu yang hendak dibaca oleh lelaki tersebut seolah-olah mempunyai pancaran yang melindungi matanya untuk membaca dan hal ini membuatkannya terganggu dan hilang tumpuan. 


Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dapat saya simpulkan bahawa kedua-dua sajak iaitu sajak ‘Bayi Yang Enggan Dilahirkan’ dan ‘Setangkai Mawar Berwarna Ungu’ mempunyai tema dan persoalan yang berbeza. Walau bagaimanapun, kedua-dua sajak ini mempunyai persamaan dari segi maksud sajak iaitu keindahan dan keseronokan dunia boleh melalaikan dan melekakan manusia. Sememangnya, lumrah kehidupan manusia, kita hanya inginkan keseronokan tanpa fikir akibat yang bakal terjadi jika terlalu taksub mengejar keseronokan. Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dan menghargai dengan apa yang telah dikurniakan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Kita perlulah seimbangkan hal dunia dengan hal akhirat agar mendapat keberkatan hidup.




  




Rujukan
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Pengarang.
Aspek kajian sastera untuk teks komsas. Diakses pada 26 September, 2011 daripada http://bm             spm.net/aspeksastera.htm
Blog: Irwan Abu Bakar. Diakses pada  25 November, 2011 daripada http://www.esastera.com/             komuniti/message.asp?c=11&ID=3287
Blog: Mokhtar Rahman. Diakses pada  25 November, 2011 daripada http://www.esastera.com/             komuniti/message.asp?c=11&ID=27520
Buang anak di Malaysia. Diakses pada 10 Disember, 2011 daripada  http://ms.wikipedia.org/             wiki/Buang_anak_di_Malaysia
Gaya bahasa. Diakses pada 27 September, 2011 daripada http://arifbahasamelayu.blogspot.          com2009/03/gaya-bahasa.html
Gaya bahasa (linguafranca). Diakses pada 27 September, 2011 daripada http:// lingua franca 28.             wordpress.com/2009/01/21/gaya-bahasa/
Pusat rujukan persuratan Melayu. Diakses pada 19 Oktober, 2011 daripada http:/prpm.dbp.gov. my/default.aspx
           






No comments:

 
>